Ada satu ruang yang tuhan beri kepada kita, tanpa boleh dikongsi dengan sesiapa. Sepanjang sungai Nil, sebesar gunung Himalaya dan seluas alam semesta yang dicipta pun, tetap kotak fikiran kita hanya kita yang punya. Prestij yang paling tinggi.
Katakan anda tidur berkongsi bantal, sebath-tub berlaga kepala pun tetap fikiran terasing antara duanya. Bahkan kembar siam kepala bersambung pun dipisahkan fikirannya meski badan dan tubuh bergabung.
Manusia cuba untuk berkongsi ruang fikiran dengan memanifestasikan ke bentuk perkataan dan bahasa, ribuan tahun ruang fikiran diterjemah ke dalam tulisan, diukir dilukis di atas kertas, hasilnya tetaplah hanya cetakan kepada karya asal. Ruang fikiran, tetap sunyi hanya kau bermain-main di dalamnya. Ketika membaca tulisan ini pun, ruang itu tak pernah padam..sentiasa mengalir tanpa dikawal, kau hanya menjenguk ke luar tingkap melihat ke dunia ini, tapi kau dan roh kudus kau masih mendiami di ruang fikiran.
Kau boleh jadi apa saja dalam fikiran kau, kau boleh meniru apa yang berlaku di dunia luar dan suntikkan ke dalam fikiran kau untuk kau bina satu kehidupan serba 'khayal', penuh bayangan dan indah jika itu yang kau mahukan, walaupun indah itu timbangannya tak sama setiap insan. Ya, kita boleh hidup dalam ruang fikiran kita, ianya satu ruang privasi yang terjadi sendiri, semulajadi, ia sentiasa ada di situ, tanpa kau perlu melakukan sebarang permohonan pun kau telah dikurniakan dengan percuma.
Di dalam ruang fikiran itu, mungkin mempunyai watak orang lain , namun tetap ianya hanyalah projection dari deria-deria, watak itu tetap engkau yang atur tanpa dia bergerakbalas dengan mindanya sendiri, ruang fikiran aku dan ruang fikiran engkau takkan mungkin dapat diletakkan dalam satu kotak yang sama..sekurang-kurangnya di dalam dunia ini, kerana tiada alat yang dapat menyatukan. Alat yang nak menyatukan itu, harusnya datang dari kilang pembuatan fikiran itu sendiri yang menciptakan.
Terkemudian hari pabila tubuh kita dah tidak lagi memerlukan apa zat, atau tidak ada kebergantungan pada oksigen..membatalkan akses kepada dunia, ruang fikiran masihkah wujud? Atau ruang fikiran ini akhirnya, sebenarnya adalah yang nyata, ruang dunia hanyalah manifestasi sebuah khayalan? Roh takkan membawa jasad, kerana tampatnya berbumbung selama ini adalah minda, fikiran, kalbu..apapun namanya.
Aku menulis ini dari ruang fikiran dan menghantarnya menerusi telefon bimbit, dunia sebagai orang tengah, sekarang kau membacanya dan masuk pula ke ruang fikiran kau sendiri. Adakah suatu masa nanti, kita mampu untuk tidak menggunakan lagi dunia sebagai adapter, berjumpa sahaja di ruangan sana. Aku dapat rasakan dunia di ruang itu wujud, kita hanya menunggu untuk disambungkan. Buat masa ini, kita masih disconnected.

ironinya, semakin kita menggunakan semaksimanya ruang fikiran itu semakin luas dan terbuka ia. maka memang ruang fikiran itu Allah cipta untuk kita penuhkan walau tak pernah akan penuh. tapi penuhkan lah ruang fikiran sendiri dengan ilmu bermanfaat (bukan berkhayal yang jauh2) :)
ReplyDelete...