BIARKAN AKU DENGAN RASA ITU

 

Pada malam yang kita luangkan untuk berkongsi cerita dan rasa, aku berasa terpaut dan terikat pada satu kefahaman yang kau selesa dengan aku. Seperti mana aku selesa dengan kau. Satu rasa yang aku tak tahu dari mana bermula dan di mana puncanya. Kita saling terpaut dan selesa. Begitu sahaja.

Dan kita pun bercerita tentang kita. Tentang apa yang kau suka dan apa yang aku mahu. Kau nampak terbuka, berkongsi walau masih ada tapis-tapisnya. Segala apa yang kita kongsikan pada malam itu buat aku senang dan gembira sekali. Entah bagaimana dan mengapa -- rasa itu mula ada. Rasa yang tidak aku fahami dan tak mampu aku ungkapkan ertinya. Tapi malam itu hati aku serasa mekar bahagia.

Demi rasa selesa, senang dan bahagia ini perlahan-lahan menerbitkan rasa takut di dalam diri aku. Takut akan dipermainkan perasaan sendiri. Takut kalau semua ini hanya gurauan mimpi. Takut kalau perasaan ini akan dihukum dengan kelukaan yang tajam nanti. Takut. Tapi aku tidak mahu rasa ini hilang.

Aku terpegun di sini.

Ke mana dan apakah kita selepas ini..?

Rasa selesa dan bahagia ini akan melukakan dan mengecewakan aku dan kau satu hari nanti. Sedarkah kau hakikat itu..? Jadi kita perlu berhenti di sini. Betul..? Tapi hati aku tak mahu berhenti. Hati aku ingin terus di sini. Bolehkah aku diam sebentar di sini menikmati rasa memekar yang sudah lama hilang tapi tidak aku fahami ini. Biarkan aku bersama segala rasa ini. Walau nanti aku akan terluka sendiri -- menangis sendiri -- menghukum diri dan melebur jauh di dalam kedegilan tak bernokhtah ini. Biarkan aku.


Tuhan,
Mohon lindungi aku daripada rasa yang bukan hak aku untuk merasainya.




...


Share:

0 comments:

Post a Comment