PLEASE STAY..!


Jahat rasa rindu ni. Sementah lagi rindu yang tak bersambut. Jahat rasa rindu yang tak mengenal tuan ni. Sekejap kau tersipu-sipu, sekejap kau menghiba sayu. Tanpa kau faham dan mengerti apa dan mengapa. Jahat rindu yang tak bertuan ni -- diluah tak boleh, dipendam memakan diri. Rindu yang membiru dan membirat ini perlahan-lahan tanpa dapat kau tahan akhirnya nanti menjadi kolam airmata di hujung senja. Yang bersisa cuma kau, hati yang meluruh dan senja yang jingga..

Aku rindu kau. Atas apa alasan sekali pun.. aku rindu kau.

Masa kau jauh, aku rindu. Masa kau dekat pun aku rindu. Walau baru 5 minit tadi kita berjumpa, aku tetap rindu kau. Fahamilah bahawa rindu aku kepada kau tidak ada titiknya. Berlarut-larut lagi berlanjut-lanjut. Nikmati sahaja kerana rindu ini terlalu luar biasa. Bukan atas zahirnya.. bukan kerana jaraknya.. tapi kerana kau itu sendiri sudah mengisi hati aku sepenuh-penuhnya.

Aku rindu -- jadi aku mula marah-marah.
Aku rindu -- dan mula pandai cemburu.
Aku rindu serindu-rindunya.. maka aku menjauh dan menghilang.

Rindu ini menggunung.
Tapi rindu ini juga yang sedang membunuhku perlahan-lahan.
Aku takut tapi aku rindu.
Aku senyum dalam airmata yang menderu laju.
Aku tak minta kau faham. Aku cuma minta kau stay. Di situ.
Sampai bila-bila di situ.


Please, stay......!



...



Share:

BIARKAN AKU DENGAN RASA ITU

 

Pada malam yang kita luangkan untuk berkongsi cerita dan rasa, aku berasa terpaut dan terikat pada satu kefahaman yang kau selesa dengan aku. Seperti mana aku selesa dengan kau. Satu rasa yang aku tak tahu dari mana bermula dan di mana puncanya. Kita saling terpaut dan selesa. Begitu sahaja.

Dan kita pun bercerita tentang kita. Tentang apa yang kau suka dan apa yang aku mahu. Kau nampak terbuka, berkongsi walau masih ada tapis-tapisnya. Segala apa yang kita kongsikan pada malam itu buat aku senang dan gembira sekali. Entah bagaimana dan mengapa -- rasa itu mula ada. Rasa yang tidak aku fahami dan tak mampu aku ungkapkan ertinya. Tapi malam itu hati aku serasa mekar bahagia.

Demi rasa selesa, senang dan bahagia ini perlahan-lahan menerbitkan rasa takut di dalam diri aku. Takut akan dipermainkan perasaan sendiri. Takut kalau semua ini hanya gurauan mimpi. Takut kalau perasaan ini akan dihukum dengan kelukaan yang tajam nanti. Takut. Tapi aku tidak mahu rasa ini hilang.

Aku terpegun di sini.

Ke mana dan apakah kita selepas ini..?

Rasa selesa dan bahagia ini akan melukakan dan mengecewakan aku dan kau satu hari nanti. Sedarkah kau hakikat itu..? Jadi kita perlu berhenti di sini. Betul..? Tapi hati aku tak mahu berhenti. Hati aku ingin terus di sini. Bolehkah aku diam sebentar di sini menikmati rasa memekar yang sudah lama hilang tapi tidak aku fahami ini. Biarkan aku bersama segala rasa ini. Walau nanti aku akan terluka sendiri -- menangis sendiri -- menghukum diri dan melebur jauh di dalam kedegilan tak bernokhtah ini. Biarkan aku.


Tuhan,
Mohon lindungi aku daripada rasa yang bukan hak aku untuk merasainya.




...


Share: