HARIMAU DI DALAM DIRI KITA
Aku kira ada harimau di dalam diri setiap kita. Harimau liar mahupun harimau jinak. Harimau belang, harimau bintang mahu pun harimau kumbang. Harimau yang liar jangan dikejutkan dan harimau yang jinak usah selalu dimanjakan. Ada harimau di dalam diri kita untuk menzahirkan apa yang tidak mampu kita lafazkan. Sebagai batu tanda untuk mengukur takat emosi yang tersimpan di dalam diri masing-masing. Ada hari harimau kita tidur lena dan ada hari yang lainnya harimau keluar menyinga.
Memelihara harimau liar di dalam diri kita ada pantang larangnya. Ada baik dan ada buruknya juga. Untuk aku, harimau liar dalam diri ini paling pantang dengan orang kurang ajar. Sudahlah kurang ajar, sombong dan angkuh pula. Automatik harimau dalam diri aku akan menunjukkan taringnya tanpa di minta. Seolah-olah menjadi tanggungjawab aku untuk mengajar orang yang kurang ajar supaya dia terajar dan belajar. Cuma masalahnya bila harimau liar aku dah keluar, susah nak dikawal. Tak boleh aku nak tahan lagi. Liar betul sampai aku sendiri kadang-kadang takut dan terkedu.
Adakah aku bangga menunjukkan sisi harimau liar dalam diri aku ni..? Nope. Never. Tak pernah senang menunjukkan sisi garang dan baran aku. Sebolehnya aku cover dan simpan sendiri tapiiiiiiii itu lah, harimau dalam diri aku ni berdarah pahlawan melayu nusantara yang bukan kaleng-kaleng keturunannya. Seberapa aku benci dan lemas dengan manusia panas baran, begitulah letih dan lelahnya aku mengawal baran dalam diri sendiri. Selagi tak dikejut harimau liar yang sedang lena ini, aku okey. Tapi bila dah dikejut, hadap dan terima sahaja lah seadanya.
Kawan-kawan yang selama ini hanya kenal aku dari sisi lembut dan tenang aku mungkin antara yang paling terkejut dan susah nak percaya bahawasanya ada harimau liar dalam diri aku. Bukan seorang dua yang menjauh daripada aku selepas tengok sendiri aku membaran. Aku tak salahkan mereka sebab aku sendiri tak suka aku yang tengah baran. Benci. Walau dalam banyak masa aku akan diamkan diri dan end up keluar dan bersendiri tapi tetap tak boleh nak nafikan baran aku tak mudah ditahan dan dikawal. Yang boleh aku lakukan cuma minta maaf selepas itu. Untuk yang faham, terima kasih. Untuk yang tak faham dan terus judge aku -- ya, silakan. Terima kasih juga.
Ada harimau di dalam diri setiap kita. Sama ada kita sedar atau tidak. Sama ada kita suka atau tidak. Harimau ni bersifat melindungi dan berterus terang. Sesekali sahaja harimau keluar menunjukkan belang dan bintang, selebihnya harimau tak pernah mengancam mereka yang tak pernah memberi ancam. Harimau ini baik asalkan semuanya baik.
Dan untuk hari ini harimau di dalam diri aku tenang.
Apa khabar harimau di dalam diri kalian pula..?
...

